Temu-bual dengan Pengarang Buku Sekolah Kehidupan

Soalan 01 : Bilakah saudara mula menulis?
Jawapan : Saya mula menulis semenjak dari bangku sekolah lagi. Saya memang suka menulis dan mengutarakan pandangan melalui penulisan atau menjadikan tempat luahan pendapat dan pandangan. Sekiranya penulisan yang saudari maksudkan ini ialah menulis buku, saya telah menulis beberapa buah buku sebelum ini dan kebanyakannya berkaitan dalam bidang keagamaan. Mungkin penerbitannya kurang dikomersialkan dan terhad.

Soalan 02 : Apakah yang mendorong saudara untuk menulis terutama dalam bidang motivasi?
Jawapan : Dorongan dari kawan-kawan rapat dan dari mentor saya sendiri iaitu Dato' Elias Omar serta mereka yang sering mendapat khidmat nasihat kaunseling atau motivasi dari saya. Bahkan penulisan merupakan antara minat saya sejak saya kecil lagi. Saya berasa puas apabila dapat melontarkan idea dan pandangan melalui penulisan. Kerana penulisan lebih tersusun dan menyentuh perasaan secara mendalam berbanding dengan percakapan atau pengucapan. Kekadang, saya dapat menyampaikan idea dan pandangan lebih baik, tersusun dan lebih tepat melalui penulisan berbanding pengucapan umum. Bidang motivasi pula adalah bidang kegemaran saya.

Soalan 03 : Bagaimana saudara menajamkan pena untuk menulis?
Jawapan : Saya mengasah bakat menulis ini sejak di bangku sekolah lagi apabila saya terlibat dengan penerbitan majalah sekolah dan dilantik menjadi setiausaha Badan Persuratan dan Penerbitan (BPP) sekolah pada waktu itu. Itulah saat minat saya dipupuk dan didorong dalam penulisan. Salah seorang kawan saya dahulu dalam BPP kini telah menjadi wartawan yang berjaya dalam salah sebuah akhbar terkemuka tanah air.

Soalan 04 : Pernah ikut mana-mana bengkel atau kursus penulisan atau ada dapat bimbingan dari sesiapa tentang teknik, prinsip dan kaedah menulis?
Jawapan : Secara khusus, saya tidak pernah mengikuti mana-mana bengkel penulisan. Saya selalu tegaskan bahawa saya bukanlah penulis dalam ertikata sebenar yang mematuhi etika dan kaedah penulisan. Saya cuma menulis untuk tujuan berkongsi idea dan pengetahuan yang saya ada dengan gaya penulisan yang ringkas dan bahasa yang mudah. Itulah tujuan saya menulis, tidak lebih dari itu.

Soalan 05 : Apa idealisme yang saudara bawa dalam penulisan saudara & apa misi saudara melalui motivasi diri?
Jawapan : Idealisme yang saya bawa melalui penulisan saya ialah berpandukan Al-Qur'an dan Hadis. Semua gerak kerja dan aktiviti hidup kita tidak dapat lari dari Al-Qur'an dan Hadis atau Sunnah Allah dalam kehidupan yang telah ditetapkan dengan lengkap terusun rapi penuh peraturan dan sistem. Misi saya ialah untuk mempertingkatkan motivasi diri tanpa melanggar peraturan alam yang sememangnya telah tersedia ada sejak azali lagi.

Soalan 06 : Untuk menulis buku yang berkaitan dengan motivasi diri ini, bagaimanakah persediaan @ penyelidikan yang saudara lakukan?
Jawapan : Persediaan untuk menulis buku ini, saya telah menghabiskan pembacaan buku yang teramat banyak dan rasanya melebihi 100 buah buku yang berkaitan. Bahkan saya telah membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk membeli buku serta bahan bacaan yang berkaitan. Saya membuat penyelidikan dengan meneliti buku motivasi yang ditulis oleh penulis-penulis terkenal samada dari zaman dahulu sehinggalah masa kini dalam pelbagai ideologi dan fahaman.

Soalan 07 : Berapa lamakah saudara mengambil masa untuk menyiapkan buku ini dan buat 'self-editing'? Adakah perlu ber"uzlah" @ menyendiri untuk siapkan buku ini?
Jawapan : Dalam menyiapkan penulisan buku ini sememangnya mengambil masa yang agak lama. Saya mengambil masa untuk 'self-editing' lebih kurang selama 3 bulan. Saya tidak ber"uzlah" atau menyendiri untuk menyiapkan buku ini kerana buku ini berkaitan dengan kehidupan. Ianya berkait rapat dengan kehidupan seharian kita dan saya perlu menghadapi orang pada setiap hari untuk mengukuhkan lagi penulisan saya dalam buku ini dan menambah ilmu serta kajian tentang hubungan manusia dalam meningkat prestasi serta motivasi diri.

Soalan 08 : Contoh-contoh dalam buku ini adalah adaptasi dari pengalaman sebenar. Boleh cerita sikit tentang perkara ini?
Jawapan : Saya sering melihat perkara yang berlaku dengan pandangan optimistik. Oleh itu, saya tidak merasa sempit dada atau tertekan dengan dugaan hidup. Untuk menjadikan buku ini lebih 'hidup' kepada pembaca dan penghayatannya maka saya masukkan pengalaman sebenar sebuah kehidupan di dalamnya untuk menjadi panduan dan ukuran sebenar bagi menilai tahap peningkatan motivasi diri dan kecemerlangan serta kebahagiaan hidup.

Soalan 09 : Bagaimana saudara menjadikan buku ini sesuai dibaca untuk semua peringkat umur?
Jawapan : Saya menulis buku ini mengikut terma dan kondisi sebenar sebuah kehidupan. Dari itu, setiap di kalangan kita akan melaluinya tanpa mengira usia, jantina, bangsa, agama dan kedudukan. Oleh itu buku ini memang sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan umur kerana ianya membicarakan tentang kehidupan. Kehidupan sebenar!

Soalan 10 : Apakah saudara akan teroka lebih jauh subjek berkenaan kehidupan & motivasi pada masa yang akan datang?
Jawapan : Ya, saya akan meneroka lebih jauh berkaitan dengan Sekolah Kehidupan ini. Dan saya sedang mengusahakan buku kedua sekarang ini berkaitan Sekolah Kehidupan yang bakal saya terbitkan pada tahun hadapan. Di samping itu, buku Sekolah Kehidupan yang ada sekarang ini, saya sentiasa membuat kajian dan tambahan serta pemurnian pada setiap bulan dengan tambahan maklumat baru dan terkini sepanjang masa bersesuaian dengan kehendak semasa dan para pembaca. Dan kini buku Sekolah Kehidupan yang berada di pasaran dalam proses untuk cetakan yang ketiga.