Tentang Pengarang

Nama Pengarang :
Haji Habin Faisal bin Haji Mohamed

Latar Belakang Pendidikan :

Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Chantum, Bachok Kelantan. Sebelum itu, beliau dididik oleh kedua ibubapanya di rumah dengan pendidikan asas awal sebelum memasuki alam persekolahan. Ibubapa beliau seorang yang amat mengambil berat tentang pendidikan anak-anak. Dalam serba kekurangan dari segi prasarana dan kewangan, beliau diperkenalkan dengan pendidikan awal di sebuah sekolah yang terletak bersempadan antara kampung kelahiran beliau dengan kampung yang berhampiran yang jaraknya lebih kurang sejauh 1 km dari rumah beliau. Beliau terpaksa berjalan kaki setiap hari untuk ke sekolah.

Setelah memasuki alam persekolahan di peringkat menengah, satu lagi cabaran yang terpaksa dihadapi oleh beliau kerana sekolah menengah yang terdekat dengan rumah berliau terletak lebih kurang 8 km jaraknya. Di peringkat menengah ini, beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Yaakubiah Nipah yang kini dikenali dengan nama Maahad Yaakubiah Nipah Bachok Kelantan. Banyak pengalaman suka dan duka sepanjang beliau menimba ilmu pengetahuan. Samada dari pengalaman hidup serta pendidikan. Dengan kedhaifan dari segi ekonomi, rujukan dan prasarana yang dalam keadaan serba kekurangan, beliau harungi pelbagai pengalaman suka-duka di peringkat usia seawal usia remaja ini dalam menimba ilmu pengetahuan.

Akhirnya, dengan usaha gigih yang penuh dengan cabaran dan dugaan beliau terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara di bawah tajaan biasiswa kerajaan Malaysia. Sekali lagi beliau terpaksa berhadapan dengan cubaan dan dugaan yang baru di tempat asing. Tambahan lagi dengan kedhaifan keluarga beliau di waktu itu begitu amat terasa sekali. Untuk melengkapkan diri beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menara gading turut dirasai keperitannya oleh kedua orang tuanya. Semasa di bangku sekolah, beliau tidak pernah mengikuti rombongan lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah kerana kengkangan kewangan dan ekonomi keluarga yang tidak mengizinkan. Bahkan sewaktu di bangku sekolah, beliau terpaksa memakai uniform sekolah lama yang telah dibeli sejak tiga tahun lalu. Kekadang beliau tidak mendapat bekal duit saku untuk ke sekolah dan sering berpuasa sambil berjalan sejauh 16 km sehari pergi dan balik dari sekolah.

Menara Gading :
Beliau dapat melanjutkan pelajaran beliau ke Universiti Yarmouk, Irbid Jordan dalam jurusan Feqah (Perundangan) dan Dirasah Islamiah. Selama lebih kurang empat tahun di luar negara, dengan suka duka serta pengalaman hidup beliau menggunakan peluang keemasan tersebut untuk menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dari mereka yang pakar dalam pelbagai bidang.
Antara Tuan Guru yang sempat beliau bertalaqqie (belajar secara khusus di luar waktu kuliah universiti) di bumi anbiya' itu ialah :
Tuan Guru Dr. Abdul Sattar Al-Hiitie, Tuan Guru Dr. Hussein Rababa'ah, Tuan Guru Prof. Dr. Mohamad Al-Faleh Al-Ajlouni, Tuan Guru Dr. Marwan Al-Qaisy, Tuan Guru Dr. Walid Musaa'adah, Tuan Guru Dr. Farouq Samara'ie, Tuan Guru Prof. Dr. Harith Ad-Dhoori, Tuan Guru Dr. Abdul Wahab As-Syiisyaani dan ramai lagi sepanjang beliau melanjutkan pelajaran di luar negara.

Beberapa orang Tuan Guru ini begitu memberi kesan kepada pendirian dan kefahaman beliau serta segala halatuju perjalanan hidup beliau. Sehingga beliau membuat kajian khusus tentang "Bagaimanakah alam ini mengajar tentang kehidupan kepadaku?!".
Beliau sering membicarakan tentang soal hidup ini semenjak dahulu lagi sehinggalah ke hari ini dan beliau tidak pernah jemu untuk membicarakannya. Beliau juga mula mempelajari ilmu kaunseling dan motivasi secara tidak langsung melalui kitab-kitab lama peninggalan ulama' terdahulu yang lebih dikenali dengan tasauf dan akhlak seperti kitab Muntolaq, Al-Raqa'ib, Tazkiyatul Anfus, Ihya' 'Ulumud Din, Mau'izastul Mu'minin dan juga Mustakhlas fi Tazkiyatul Anfus secara bertalaqqie dengan ulama'-ulama' terkenal dari bumi anbiya'.

Setelah pulang ke tanah air, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dalam Bidang Bahasa Arab dan Pendidikan Islam di Maktab Perguruan Islam (MPI) Bangi yang kini dikenali dengan Institut Perguruan Islam Selangor (IPIS).


Pengalaman :
Sewaktu melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Islam (MPI) Bangi, beliau telah bersua dengan Seorang Mentor yang hebat dalam bidang kaunseling dan motivasi yang telah mengajarnya tentang ilmu kaunseling dan motivasi. Mentor beliau tersebut di saat itu ialah Allahyarham Azman Ibrahim yang lebih dikenali dengan nama Pak Man. Dari sinilah bermulanya beliau berkecimpung dalam bidang kaunseling dan motivasi. Hinggakan membawa kepada beliau berjinak-jinak dengan dunia kaunseling dan menyambung pelajaran dalam bidang kaunseling di peringkat sarjana. Hasrat beliau untuk menamatkan pembelajaran diperingkat sarjana terbantut kerana faktor kewangan dan kekangan kerja. Walau bagaimanapun, beliau terus bergerak cergas dalam bidang kaunseling dan motivasi semenjak tahun 2001 sehingga ke hari ini.

Beliau mula berkecimpung dalam bidang kaunseling dan motivasi dengan menjalankan program-program kaunseling dan motivasi di sekolah-sekolah sekitar Bangi pada setiap hujung minggu sewaktu beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Islam (MPI) Bangi. Setelah tamat pengajian, beliau meneruskan program motivasi di seluruh negeri Selangor, seterusnya ke seluruh tanah air sewaktu bekerja sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran. Beliau bergiat cergas selama enam tahun sehingga beliau berhenti sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Kementerian Pelajaran.

Beliau juga bergiat cergas dalam memberi ceramah motivasi, seminar, membentang kertas kerja bagi jabatan-jabatan atau pejabat kerajaan serta syarikat swasta. Menjadi ahli penal forum perdana bermula tahun 2001 hingga kini. Bergiat cergas dalam kerja amal dan kebajikan membantu golongan miskin, fakir dan mereka yang memerlukan samada dalam bentuk bantuan kewangan serta ilmu pengetahuan. Selalu membantu menyelesaikan masalah hubungan sosial bagi pasangan, rumahtangga dan keluarga. Juga khidmat nasihat untuk hubungan sosial di kalangan kakitangan dengan majikan serta keibubapaan.

Selepas berhenti dari Kementerian Pelajaran Malaysia, beliau telah memulakan perniagaan sendiri secara sepenuh masa. Berpaksikan pengalaman serta ilmu yang beliau miliki, beliau dengan cemerlangnya menerajui kumpulan syarikat beliau di bawah HFZ Group. Di samping itu, beliau mendalami ilmu dalam bidang ekonomi dan perniagaan dari Mentor dan Sifu beliau yang sememangnya pakar dalam bidang tersebut iaitu Dato' Elias Omar. Beliau juga menjadi penasihat syar'ie kepada Koperasi Dana Usahawan Global Berhad atau lebih dikenali dengan KODANA Berhad. Dengan tunjuk ajar dan didikan daripada mentornya itu, beliau telah mengembangkan jalur gemilang ke persada antarabangsa. Walaupun terlalu awal untuk menyatakan kejayaan beliau ini, tetapi segala usaha gigih beliau telah memberi suntikan dan dorongan kepada ramai pihak. Sehingga kini, beliau menjadi penyuntik semangat dan sering memberi motivasi kepada mereka yang mengenali beliau. Dengan permintaan dari ramai pihak, maka segala pengalaman beliau, kaunseling serta motivasi yang sering dilontarkan kini beliau bukukan dalam sebuah buku yang diberi tajuk Sekolah Kehidupan.


Tentang Buku Sekolah Kehidupan :
Buku Sekolah Kehidupan ini merupakan satu buku siri pengalaman, kaunseling dan motivasi yang dihasilkan oleh pengarang dengan gaya persembahan yang berbeza dan unik. Pengarang mengemukakan pandangan dengan gambaran berdasarkan situasi yang benar-benar berlaku dalam kehidupan seharian kita. Beliau memberi penjelasan tentang titik noktah penting yang perlu kita fahami atas setiap fenomena yang berlaku. Ini kerana setiap yang berlaku itu merupakan satu anugerah yang amat bernilai. Sekiranya kita tidak peka dengan keadaan ini, mengakibatkan tumpuan kita teralih serta tidak ada peningkatan positif bagi diri kita.

Ini yang beliau nyatakan dalam buku Sekolah Kehidupan bahawa hidup ini ibarat sebuah Sekolah Besar yang terbentang luas. Di dalamnya penuh dengan sukatan Kurikulum pendidikan kehidupan. Setiap orang yang menempuhinya perlu melalui proses pembelajaran dengan Kurikulum yang ditetapkan. Samada akan lulus dan terus ke Kurikulum berikutnya atau gagal, dipaksa mengulang dan terus mengulang sehingga lulus. Itulah yang dikatakan dengan Sekolah Kehidupan.

Apa yang menarik tentang buku ini ialah pengarang menyimpulkan konsep hidup ini berlandaskan dari intipati Al-Qur'an dan Hadis. Beliau juga memetik kata-kata cendikiawan-cendikiawan yang menjadi pujangga kepada pedoman hidup sejak zaman-berzaman. Keistimewaan buku ini ialah bagaimanakah caranya buku ini ditulis dan diadaptasi dengan contoh-contoh kehidupan sebenar. Membaca buku ini merupakan satu pengembaraan hidup yang menarik untuk dijadikan pedoman dan panduan.

Jangan lepaskan peluang memiliki dan membaca buku ini..!

HFZ Group Sdn Bhd.